Tuesday, May 28, 2013

Terowong

Apabila sudah berada di pertengahan
Terowong perkenalan
Kita mula tertanya
Bagaimana kita bermula?
Sejak bila kita mula menyusuri terowong ini bersama
Apa sudah berapa lama kita di sini
Dan mengapa terowong ini yang menjadi pilihan hati?

Sedang yang lebih penting
Adalah bagaimana kita mengakhirkan perjalanan kita
Apa terowong ini berterusan sahaja
Tiada penghujungnya
Apa ia terang atau bakal bergelap di suatu masa
Atau kita terperangkap di pertengahannya
Entah sampai bila.

Entah bagaimana pengakhirannya
Aku tertanya.

Thursday, May 23, 2013

Pengakhiran.

Kenapa bertemu kalau untuk berpisah?
Tanya mereka.
Tapi tidak aku.
Aku gembira kita bertemu
Walaupun aku tahu detik perpisahan itu bakal berlaku
Cuma, tunggu waktu.

Mungkin satu saja silap aku.
Untuk jatuh cinta sejak mula mata bersua
Walaupun aku tahu
Kau dan aku
Takkan mungkin dapat bersama
Selamanya.

Jadi untuk pertemuan kita
Yang singkat tapi bermakna.
Terima kasih untuk semuanya.
Dan untuk sang cinta yang tidak kesampaian
Biarkan saja.
Biar ia hapus bersama air mata.

Tuesday, May 21, 2013

Lumba

Mula.
Semangat kuat jiwa berapi
Garis penamat itu sebagai saksi
Cuba sedaya untuk lintasi
Sikit lagi...
Sikit.
Lagi.

Lari.
Cuba gapai
Tapi terasa jauh
Makin jauh
Apa garis penamat itu sudah makin jauh?
Apa aku yang berlari mengundur?

Sedar.
Aku masih di garis mula
Setapak pun belum ku langkah
Ah sudah
Konsentrasi makin musnah

Jangan tewas sudah.










P/s: makin menghampiri final exam, makin banyak perkara bikin semak fikiran. Oh dugaan.

Sunday, May 19, 2013

Daun dan bunga

Kalau di setiap kali aku terfikirkan kamu
Sehelai daun gugur dari pepohon itu
Bermusim luruhlah kita di kala musim bunga

Kalau di setiap kali aku cuba untuk menyatakannya
Sekelopak bunga itu gugur dari jambangan
Seolah musim kemaraulah si taman bunga

Jadi aku persembahkan
Musim luruh dan musim kemarau
Untuk kau
Ikhlas dari aku

Friday, May 17, 2013

Selam

Antara benda yang teruja tetapi agak seram untuk dilakukan; menyelam. Kenapa seram? Mungkin sebab sudah 3 kali aku ada pengalaman hampir-hampir tenggelam dan lemas. Tapi, aku suka menyelam. Hurm.

Mungkin, memang naluri aku begitu. Suka dicabar. Suka cuba benda-benda yang sebenarnya aku takut nak cuba. Kalau ikut akal, memang aku tak buat. Tapi bila ikut hati, semua pun jadi.

Macam menyelam.

Kalau diikutkan akal, takkan aku cuba selami lautan sedalam itu. Tapi pandai kau pujuk hati aku. Kata kau, ah kita snorkeling saja dulu. Aku setuju. Kemudian perlahan-lahan kau tarik aku, kata kau, lagi dalam lebih cantik batu karangnya. Lagi dalam lagi banyak hidupan dapat kita lihat. Tahu-tahu saja, kita sudah berada di dasarnya.

Dasar hati kau.

Persoalannya, sampai bila? Sampai akhir nafas kita?

Aku juga harap begitu.

Monday, May 13, 2013

Bayang

Kau umpama bayang bayang
Sentiasa mengekori
Ke mana saja aku pergi

Kau umpama bayang bayang
Sementara sifatnya
Mengekori ku bersama cahaya
Hilang cahaya kau pun tiada

Kau umpama bayang bayang yang aku
Lihat terpantul dari lopak air itu
'Campak satu batu......

...... bayang pun hilang'

Selamat tinggal sayang.
Aku penat menjadi si gila bayang.

Saturday, May 11, 2013

Mimpi

Bila cuma sekali-sekala
Aku ingat apa yang dimimpi setelah jaga
Terasa seolah mimpi itu
Cuba memberitahu. Sesuatu.

Bila cuma sekali-sekala
Wajah asing yang aku jumpa di dalam mimpi
Ditemukan dalam realiti
Mana mungkin aku boleh lupa

Dan bila sekali-sekala itu
Dalam mimpi yang aku ingat ketika jaga
Dan wajah asing itu adalah wajah kau
Bersama aku.
Atas pelamin.
Tak mungkin aku bisa buat tak tahu.





P/s: mimpi itu mainan tidur.

Wednesday, May 8, 2013

Salahkah aku

Apa salahnya
aku tanya khabar berita
Aku sapa kau bila-bila
Aku ambil tahu semua berita

Antara kita bukan sekadar cinta
Tapi kan ada persahabatan dan setia?
Jadi apa salahnya
Walaupun cinta itu sudah dicampak ke luar jendela hatimu
Salah kah aku masih setia mahu kekal jadi sahabatmu?





P/s: rasa nak pindah blog. X puas nya menaip pakai telefon je >.<

Monday, May 6, 2013

Congratulations Malaysia

Alhamdulillah Malaysia baru sahaja selesai pilihanraya umum ke 13 semalam. Tahniah buat rakyat Malaysia yang turun mengundi. Tahniah buat smua yang menang. Harap semua sedar, kemenangan itu ertinya satu tanggungjawab besar sedang kamu galas di bahumu.. segala janji yang kamu tabur, mohon ditunaikan. Perdana menteri sendiri minta rakyat beri peluang untuk dia perbaiki silap dia. Alhamdulillah kalau benar pentadbiran mahu berubah menjadi yg lebih baik.

Semoga banyak pengajaran diperoleh sempena pilihanraya kali ini.

Teringin nak beratur berpanas terik dgn sahabat-sahabat sebaya di sekolah, sambil mengimbau kenangan muda remaja. Apakan daya, jauh di perantauan.

PRU 14, harap-harap dah kahwin time tu. Eh.

Saturday, May 4, 2013

Unrequited ....

Umpama sekeping hati digunting kecil dari tempat asalnya
Tanpa pemilik hati tahu

Dan diam-diam juga cuba kau tampal semula
Hati kecil itu balik di tempatnya

Takkan sama.